Sultan Selangor cemar duli ke AVISENA [METROTV]

22 Aug 2019

Harian Metro (22 Ogos 2019)


SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini merasmikan Hospital Pakar Wanita dan Kanak-kanak AVISENA yang beroperasi di Seksyen 14, Shah Alam Mei lalu.

Baginda yang diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin turut mencemar duli melawat hospital berkenaan serta pameran berkaitan AVISENA.

Turut hadir Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Pada majlis itu, Sultan Sharafuddin turut berkenan menyampaikan replika cek sumbangan RM25,000 daripada hospital pakar berkenaan bagi menaja kos pembedahan kanak-kanak lima tahun dan bayi perempuan berusia 10 bulan.

Ia masing-masing untuk membiayai kos prosedur laparoskopi untuk penyakit hernia yang dihadapi kanak-kanak berkenaan dan pembedahan sumbing lelangit bayi terbabit.

Baginda juga berkenan menyampaikan sumbangan RM5,000 daripada hospital itu untuk Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) yang diterima wakil persatuan.

Sementara itu, ketika berucap, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AVISENA Datuk Dr Omar Abd Hamid berkata, Hospital Pakar Wanita dan Kanak-kanak AVISENA yang dibina di lokasi tidak jauh dari Hospital Pakar AVISENA di Seksyen 14 adalah hospital pakar untuk wanita dan kanak-kanak terbesar di negara ini.

Katanya, hospital itu menawarkan perkhidmatan perbidanan, ginekologi dan pediatriks dalam hampir semua bidang pengkhususan seperti kesuburan, perubatan janin-ibu (maternal-foetal), uroginekologi, neonatologi (penjagaan bayi baru lahir), ‘paediatrics cardiology’, pembedahan pediatrik, ortopedik pediatrik, perkhidmatan pergigian pediatrik, pembangunan kanak-kanak dan pelbagai pengkhususan lain.

Beliau berkata, hospital pakar itu yang kedua dibina Kumpulan AVISENA selepas hospital pertamanya yang beroperasi lebih 11 tahun lalu.

“Keseluruhan katil untuk kedua-dua hospital kami pada masa ini 251 katil dengan 115 doktor pakar dan ia memberi peluang pekerjaan kepada hampir 1,000 kakitangan.

“AVISENA juga sedang membuat persediaan untuk menambah 140 katil lagi di Hospital Pakar AVISENA bagi menarik, menjana dan mengembangkan perkhidmatan pelancongan perubatan, terutama dari Australia, Indonesia dan Timur Tengah (Asia Barat),” katanya.

Pada masa sama, Dr Omar berkata, Kumpulan AVISENA juga merancang mengembangkan perniagaannya di beberapa lokasi lain di Lembah Klang serta negeri lain dalam negara ini.

Hospital Pakar Wanita dan Kanak-kanak AVISENA dilengkapi kemudahan 133 katil dengan 52 doktor pakar.

Selain menawarkan pelbagai disiplin perubatan, hospital yang mengetengahkan konsep hospital butik itu mempunyai empat dewan bedah, Unit Rawatan Rapi (ICU) mesra kanak-kanak, Unit Kritikal untuk Bayi (NICU) dan Unit Separa Kritikal (HDU).

Lebih menarik, ia juga menawarkan perkhidmatan Anjung Bonda yang membolehkan ibu pesakit pediatrik berehat tanpa gangguan bapa dan anak.

Artikel Penuh: Harian Metro