Luaskan Jenama – MyMetro (Press Release)

Apr 24, 2018 | News & Events

Shah Alam: Avisena Holdings Sdn Bhd, pemilik dan pengendali Hospital Pakar Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC) memperkenalkan penjenamaan semula hospital itu kepada Hospital Pakar Avisena sebagai usaha meluaskan jenamanya ke negeri lain pada masa depan.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Dr Omar Abd Hamid berkata, penjenamaan semula itu bertujuan memastikan hospital terbabit tampil dengan imej moden, kukuh dan berdaya saing di pasaran sekali gus membantu ia menjadi jenama kebangsaan.

Kami beroperasi lebih 20 tahun dan memenuhi keperluan komuniti di Selangor terutama Shah Alam dan kami kini bersedia memperluaskan jenama ini ke seluruh negara,” katanya pada pelancaran jenama Hospital Pakar Avisena di sini, semalam.

Hospital Pakar Avisena bermula sebagai Hospital Pakar DEMC pada 1997 di Seksyen 9 dan ia berpindah di Seksyen 14, Shah Alam pada 2010.

Ia memiliki 130 katil, 600 kakitangan termasuk 50 pakar perubatan profesional dan pembedahan berpengalaman.

Beliau berkata, penjenamaan kepada Hospital Pakar Avisena itu menjadikannya platform orang ramai mendapatkan perkhidmatan bermula daripada kardiologi, rawatan hepatobiliari, pembedahan kolorektal dan saraf, pakar kanak-kanak dan pakar perubatan wanita.

Menurutnya, hospital itu dalam proses membina Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Avisena berdekatan Hospital Pakar Avisena yang hampir 70 peratus pembinaan dan dijangka siap akhir tahun ini.

Hospital ini bakal dilengkapi pemilikan mesin dan teknologi perubatan terkini secara berterusan dan akan menarik pakar terbaik dalam pelbagai bidang serta terus mengekalkan kos berpatutan kepada pesakit,” katanya.

Mengulas mengenai pelan pembukaan hospital di negeri lain, Omar berkata, pihaknya menjalakan kajian lanjut bagi meninjau pasaran berpotensi di lokasi seluruh negara.

Kami cenderung membuka cawangan hospital baru ini di Kuantan, Alor Setar, Ipoh dan Pulau Pinang.

Fokus kami bertumpu kepada pembukaan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Avisena terlebih dulu sebelum membuka cawangan Hospital Pakar Avisena di negeri lain dalam 12 hingga 24 bulan akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada: Khamis, 22 Mac 2018 @ 1:50 AM
Source: MyMetro

Avisena: Corporate Video

You have Successfully Subscribed!